BEIJING: Isu kecerdasan buatan (AI) mengambil alih pekerjaan manusia kini mula dirasai oleh aktor di China.
Satu ketika dahulu, pelakon popular dalam industri drama pendek di negara ini mampu meraih pendapatan luar biasa sehingga 20,000 yuan (RM11,987) sehari. Bagaimanapun, pasaran tersebut kini dilaporkan lumpuh akibat lambakan produksi AI.
Nilai pasaran pelakon merosot mendadak sehinggakan ramai yang kini bergelut untuk mendapatkan bayaran sekadar 1,200 yuan (RM719) sehari, manakala sebahagian besarnya langsung hilang punca pendapatan.
Antara yang menjadi mangsa teknologi AI itu adalah Xu Peng, 30, pelakon berbakat besar lulusan Central Academy of Drama yang sebelum ini menempa nama dan meraih pendapatan lumayan menerusi watak ikonik ‘CEO Kuku Besi’ ketika gelombang mikro-drama memuncak pada 2025.
Pada kemuncak popularitinya, jadual kerja Peng sangat padat dengan tempoh penggambaran mencecah 15 hingga 16 jam sehari yang menjanjikan pulangan wang yang amat lumayan.
Namun, segalanya berubah dalam tempoh singkat.
Bagi Peng, kehilangan slot penggambaran bermakna pendapatannya sebagai pelakon kini menjadi sifar.
Selepas menyelesaikan penggambaran drama pendek terakhirnya awal tahun ini, beliau mengambil keputusan meninggalkan Hengdian di Wilayah Zhejiang yang dikenali sebagai hab perfileman terbesar China untuk pulang ke kampung halamannya di kawasan luar bandar Shandong.
Menerusi laporan media tempatan, Peng kini memandu kenderaan elektrik keluarga ke pasar tempatan untuk membantu datuknya menjual sayur.
“Menjadi pelakon hanyalah satu kerjaya. Jika tiada tawaran berlakon, saya akan mencari cara lain untuk mencari rezeki,” katanya.– AGENSI










