KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) hanya mahu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi daripada kalangan ahli parti dan penyokong gabungan itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, BN tetap menghormati sebarang strategi Pas yang mempunyai hak untuk menentukan strategi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Mana-mana parti berhak mengemukakan cadangan sama ada berbentuk langkah taktikal, namun keputusan untuk bergerak solo dibuat berdasarkan pertimbangan parti.
“Bukan kerana kita mahu membenci mana-mana pihak, sebaliknya kita mahu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi daripada kalangan ahli parti, ahli parti-parti komponen BN, pengundi di kelompok pertengahan serta penyokong yang bersimpati dengan perjuangan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Risda Agro Majestic di sini hari ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO dan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebagai timbal balas, beliau berharap penyokong BN diharap dapat memberikan sokongan dan undi kepada calon Pas di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu dalam PRN Johor.
Dalam pada itu Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen PRN Johor berkata, kedua-dua gabungan itu kekal profesional meskipun kedua-dua gabungan bertanding di gelanggang sama.
Beliau berkata, kedua-dua gabungan membezakan tanggungjawab sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dengan persaingan politik di peringkat negeri.
“Saya ingin sahkan (hubungan BN-PH) sangat-sangat baik dan kita sangat profesional.
“Kita membezakan isu-isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain di peringkat negeri,” katanya. Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi kempen yang mengutamakan politik matang tanpa serangan peribadi walaupun BN dan PH bertembung di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Antaranya kita tidak ‘attack’ satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang di negeri Johor khususnya dan kita akan ke Negeri Sembilan.
“Jika ada yang tersasar daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan itu. Yang penting, demokrasi ini harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.-UTUSAN










