Ancaman siber cabaran utama pertahanan moden negara

Ancaman siber cabaran utama pertahanan moden negara

ADLY Zahari (empat dari kiri) ketika merasmikan penutupan program Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA), di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ancaman siber kini muncul sebagai cabaran utama dalam pertahanan moden negara, sekali gus tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia perlu mempunyai hala tuju yang tersusun agar mampu bertindak lebih awal dan bukannya hanya menunggu selepas serangan berlaku.

Menurutnya, ancaman digital masa kini semakin berkembang pantas dan sukar dikesan serta memberi kesan ketara terhadap keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau berkata, insiden serangan ransomware yang menyasarkan Malaysia Airports Holdings baru-baru ini menjadi peringatan jelas bahawa apabila sistem kritikal terganggu, kesannya turut melibatkan keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan keyakinan awam,” katanya ketika sidang akhbar penutupan rasmi program Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2025, di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan langkah memperkukuh aspek keselamatan siber, seiring dengan hala tuju Kertas Putih Pertahanan yang telah digariskan.

“Mindef kini meneliti pembangunan keupayaan siber sendiri termasuk cadangan penubuhan sebuah Pasukan Siber.

“Sekiranya diberi mandat dan sokongan kelengkapan sepenuhnya, pasukan ini berupaya mengesan, menangkis dan meneutralkan ancaman lebih awal melalui kerjasama rapat dengan agensi keselamatan siber serta perisikan,” katanya.

Namun begitu, Adly menyatakan, usaha mempertahankan ruang siber tidak boleh digalas kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak.

“Daya tahan siber hanya boleh dicapai dengan penyertaan bersama melibatkan kerajaan, industri, akademia serta masyarakat sivil,” katanya.

Dalam pada itu, pameran CyberDSA 2025 itu menghimpunkan lebih 8,000 profesional dari 46 negara serta 160 pempamer dari 19 negara, menjadikannya platform penting membincangkan cabaran keselamatan siber serantau.

Pertandingan Siber Siaga 2025 turut dianjurkan dengan acara Capture The Flag melibatkan 238 peserta, yang menguji kemahiran penggodaman, penyiasatan digital dan penyelesaian masalah siber.

“Ini adalah pertama kali diadakan pertandingan e-Sukan Generasi Angkatan Masa Hadapan (ESPORT GEN ATM) memfokuskan kepada permainan telefon pintar Mobile Legends Bang-Bang melibatkan belia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan anggaran 200 peserta.

“CyberDSA 2025 memperkukuh kesiapsiagaan siber negara, selain menyokong pembangunan bakat belia dalam bidang digitalisasi dan e-sukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini