Ahli Bersatu kena bertenang, fokus PRN Sabah

Ahli Bersatu kena bertenang, fokus PRN Sabah

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melakukan ‘gencatan senjata’ seketika daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu dalaman parti itu kerana agenda lebih besar adalah memberi tumpuan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris yang juga salah seorang pengasas parti itu berkata, persiapan Perikatan Nasional (PN) menghadapi PRN Sabah sudah di peringkat akhir dan ‘pergaduhan’ secara terbuka berhubung isu kepemimpinan parti boleh menjejaskan misi menawan Negeri Di Bawah Bayu.

Kata beliau, isu yang melingkari Bersatu perlu diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan parti-parti lain dalam PN yang ketika ini memberi tumpuan kepada PRN Sabah.

“PN akan bertempur dalam PRN Sabah dan berhasrat menawan negeri itu tetapi kalau kita (Bersatu) bergaduh dalaman seperti ini, akan jadi masalah nanti.

“Saya minta kita bertenang dan beri tumpuan kepada PRN Sabah, Kita adakan ‘gencatan senjata’ seketika,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang secara terbuka menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden parti itu dan memberi laluan kepada kepemimpinan baharu.

Desakan sama dibuat Bersatu Bahagian Dungun yang memutuskan untuk mengemukakan usul supaya Muhyiddin berehat daripada jawatannya selain mencadangkan pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan.

Razali yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu berkata, semua ahli Bersatu yang sayangkan parti itu perlu melihat gambaran lebih besar iaitu memberi tumpuan kepada PRN Sabah manakala isu kepemimpinan diselesaikan secara dalaman.

Berhubung usul Bersatu Bahagian Dungun, beliau akan meneliti perkara berkenaan sama ada ia dibuat secara tertib iaitu usul mesti datang daripada cawangan untuk dibawa ke bahagian sebelum diputuskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN