PETALING JAYA: Seramai 7,595 Pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran (RPM) 2.0 bermula Mei lalu hingga September ini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya mempunyai kapasiti harian kira-kira 150 permohonan justeru ada warga asing yang sanggup beratur lebih awal bagi menanti kaunter dibuka keesokan hari.
“Ada warga asing yang sudah mula beratur seawal pukul 9 dan 10 malam untuk mendapatkan giliran bagi memproses permohonan PRM 2.0 mereka.
“Proses ini memakan masa, antaranya perlu mengambil gambar, merekodkan cap jari dan beberapa lagi proses yang perlu dilakukan, jadi memang setiap hari kapasiti kita agak terhad,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Mohammed Saupee menyarankan agar mereka yang mahu sertai PRM 2.0 ini boleh juga pergi ke pejabat JIM di negeri-negeri seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah Negeri Sembilan yang kurang sesak berbanding di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pelbagai alasan diberikan PATI terbabit antaranya lama tidak pulang ke kampung, ahli keluarga sakit, dan ada juga mendakwa ditipu ejen pekerjaan.
“Ada juga antara PATI terbabit menyerah diri kerana takut ditangkap pihak berkuasa selepas 10 tahun tinggal di Malaysia secara haram.
“Warganegara tertinggi yang menyertai PRM 2.0 antaranya daripada Indonesia, Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan, Sri Lanka,” jelasnya.
Katanya, PATI menyerahkan diri menerusi program PRM 2.0 ini kerana tidak mahu dikenakan tindakan sekiranya ditangkap menerusi operasi atau pemeriksaan rawak.
Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan berterusan dan operasi penguatkuasaan secara kerap di Kuala Lumpur bagi membanteras kebanjiran PATI.
Menurutnya, PATI yang menyerah diri hanya perlu membayar denda RM500 dan membeli tiket pulang ke negara asal masing-masing berbanding hukuman penjara serta denda ribuan ringgit sekiranya disabit kesalahan di mahkamah.
“Kalau kena tangkap, terus akan kena reman boleh sehingga 14 hari, naik mahkamah sekiranya disabitkan salah boleh dipenjara lagi dan didenda sebelum dihantar pulang.
“Jadi untuk mengelakkan perkara-perkara ini saya beri amaran kepada semua PATI di luar sana dan galakkan mereka sertai PRM ini, boleh pergi ke mana-mana pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM di setiap negeri,” katanya.
Untuk rekod program PRM 2.0 diadakan bermula 19 Mei lalu sehingga 30 April 2026 bagi memberi peluang kepada PATI pulang ke negara asal secara sukarela mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.
Antara syarat-syarat, warga asing terbabit perlu mempunyai pasport, tiket penerbangan pulang ke negara asal dalam tempoh 14 hari, hadir di mana-mana pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM, dan bayar kompaun berkaitan.
PATI yang layak dan permohonan sudah diterima perlu membayar RM20 bagi mendapatkan pas khas sementara menanti tarikh penerbangan pulang ke negara masing-masing.
Bagaimanapun, PATI yang disenarai hitam atau mempunyai waran tangkap daripada mana-mana agensi penguatkuasa tidak dibenarkan menyertai program itu.-UTUSAN










