KUALA LUMPUR: Kira-kira 700 individu berhimpun di hadapan Bangunan ICON di sini bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan melibatkan seramai 488 petugas daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, daripada jumlah itu, 18 pegawai dan 470 anggota ditempatkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perhimpunan.
“Perhimpunan yang bermula pukul 2 petang dan berakhir sekitar 4 petang itu berlangsung dengan secara aman. Tiada sebarang insiden tidak diingini sepanjang ia berlangsung,” katanya.
Media semalam melaporkan polis menggesa supaya penganjuran perhimpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tidak diadakan, bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata, tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bukan masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana semua keutamaan ditumpukan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
“Polis menasihati supaya perhimpunan itu tidak diteruskan kerana kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama delegasi luar negara.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pihak termasuk parti PAS mengumumkan rancangan untuk menganjurkan satu himpunan bagi membantah kehadiran Trump dalam masa terdekat.- UTUSAN










