KUALA LUMPUR: Seramai 49 wanita Indonesia dipercayai mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan Op Pintas Tip sekitar Klang, minggu lalu.
Kesemua 49 wanita tersebut dipaksa sindiket bekerja sebagai pekerja pembersihan harian tanpa dibayar gaji malah dikawal dan dikurung selepas waktu kerja.
Bagaimanapun, penderitaan kesemua mangsa berusia 20 hingga 47 tahun itu berakhir apabila diselamatkan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman dan Pejabat Strategik Nasional, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO) menerusi Op Pintas Tip pada 10 hingga 13 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua warga itu dipercayai mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam 11 serbuan dijalankan di kawasan perumahan di sekitar Klang, Selangor.
Katanya, mangsa dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah, pembantu kedai makan, pekerja kilang dan pekerja kedai rambut namun siasatan mendapati mangsa dieksploitasi sebagai buruh paksa iaitu pekerja pembersihan premis oleh agensi pekerjaan tempatan.
“Kesemua mereka ditempatkan di lima rumah yang disewa sindiket selama kira-kira lima bulan hingga 13 tahun.
“Mereka juga dikurung, dikawal dan telefon bimbit mereka diambil serta tidak dapat berhubung dengan keluarga,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Kumar berkata, pihaknya turut menahan 14 suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 28 hingga 48 tahun dan tiga wanita warga Indonesia berusia 27 hingga 37 tahun.
“Tangkapan itu berperanan sebagai pengurus agensi pekerjaan, penjaga rumah penginapan, pengangkut dan kerani syarikat. Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek tempatan mempunyai rekod jenayah kesalahan dadah.
“Ujian awal saringan air kencing mendapati seorang warga Indonesia positif dadah jenis methamphetamine, manakala yang lain didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelanggan sindiket adalah rumah persendirian dan mangsa juga takut untuk mendedahkan perkara itu kerana bimbang dipukul pihak sindiket.
Katanya, mangsa juga kebanyakan daripada keluarga susah dan membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang kepada pihak berkenaan untuk masuk bekerja ke negara ini sebelum terpedaya.
“Mereka ini ada yang masuk melalui saluran diwartakan dan ada yang tidak tetapi kebanyakan melalui saluran (sah) dengan janji untuk memberi pekerjaan seperti dijanjikan. Sindiket itu sudah beroperasi sejak 2018 sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM1,056,806, enam kenderaan, 71 pasport, 19 unit telefon bimbit, lima set rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan 14 kunci rumah.
Menurutnya, kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala warga asing yang diselamatkan diberikan perlindungan interim.
“Lima kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN










