4 bekas pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM177,000 - Utusan Malaysia

4 bekas pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM177,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat bekas pegawai bank dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 27 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM177,769.39 bagi membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan melebihi had kelayakan di beberapa institusi kewangan.

Semalam, dua pegawai bank yang kini digantung tugas turut didakwa atas 23 pertuduhan atas kesalahan serupa.

Pada prosiding hari ini, tertuduh-tertuduh, Noor Iskandar Aziz, Muhammad Najmi Mu’az Pekan, Amir Hafizi Anuar dan Syazwan Akmal Badran mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Di hadapan Hakim Rosli, pemandu e-hailing, Noor Iskandar, 44, yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pemasaran Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Putrajaya, didakwa atas 10 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM92,173 antara Oktober 2021 hingga Mei 2023.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima sejumlah wang antara RM1,000 hingga RM30,693.60 daripada beberapa individu termasuk Ong Kim Hock, Ong Mun Ho, Lim Kim Yen dan Anas Syazwan Abd Samad yang mempunyai kaitan dengan CSA Infinite Consultancy, sebagai dorongan membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan syarikat berkenaan di institusi kewangan lain sehingga menyebabkan pelanggan memperoleh pinjaman melebihi had kelayakan.

Semua transaksi itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank di Kuala Lumpur dan Selangor, melibatkan kemasukan wang ke dalam akaun milik isteri tertuduh serta akaun peribadinya sendiri.

Tertuduh kedua, Muhammad Najmi, 34, ketika berkhidmat sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan PKNS Shah Alam, berdepan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,567 antara Januari dan Februari 2024.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa menerima wang berjumlah RM1,004 dan RM4,563 daripada JWW Titans Trading dan Lim sebagai dorongan membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan syarikat berkenaan yang melebihi had kelayakan ditetapkan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, melibatkan beberapa transaksi kemasukan wang ke dalam akaun peribadi milik tertuduh.

Sementara itu, pegawai jualan, Amir Hafizi, 29, yang merupakan bekas Pegawai Pemasaran Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kajang, berdepan tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM37,347.76 antara Februari hingga Ogos 2024.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah antara RM1,341 hingga RM8,355.75 daripada beberapa individu termasuk Syarikat CSA Infinite, Syarikat JZ Solution dan Lim melalui akaun bank miliknya sebagai dorongan membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan syarikat tersebut di institusi kewangan lain yang melebihi had kelayakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pendakwaan bagi kes di hadapan Hakim Rosli dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Safiee dan M. Esther Jacyntha, manakala ketiga-tiga tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam Rayveni Asogan, Abdul Hakeem Aiman Mohd. Affandi dan Humaidi Zulkifli.

Mahkamah membenarkan Noor Iskandar diikat jamin RM25,000, Muhammad Najmi RM10,000, dan Amir Hafizi RM20,000, masing-masing dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 20 November ini bagi sebutan semula kes Noor Iskandar, manakala 10 Disember ini bagi Muhammad Najmi dan Amir Hafizi.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azura Alwi, tertuduh keempat, Syazwan Akmal, 33, yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pemasaran Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Petaling Jaya, turut mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM42,681.63 antara Januari hingga Ogos 2024.

Mengikut pertuduhan, Syazwan yang kini bekerja di syarikat swasta didakwa menerima wang berjumlah antara RM878 hingga RM10,237.50 daripada Syarikat JWW Titans, Syarikat CSA Infinite, Lim dan Syarikat JZ Solution sebagai dorongan membantu memproses permohonan pinjaman pelanggan melebihi had kelayakan di institusi kewangan lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nidzuan Abd. Latip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada Januari lalu, media melaporkan lebih 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram yang didalangi pegawai beberapa institusi kewangan tempatan.

Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM sebelum itu melancarkan Op Sky, hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), yang membawa kepada serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang serta penahanan 12 individu bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN