KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju (YP) menyasarkan 12,000 bakat bumiputera melibatkan 10,000 pakar teknologi berkemahiran tinggi dan 2,000 akauntan bertauliah pada tahun hadapan selaras aspirasi Belanjawan 2026 untuk memperkukuh peluang pendidikan golongan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, sasaran tersebut seiring komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuh pembangunan modal insan bumiputera berkemahiran tinggi sebagaimana yang diumumkan melalui pembentangan Belanjawan 2026.
Katanya, sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat bumiputera, pihaknya komited menyokong aspirasi Belanjawan 2026 melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan berimpak tinggi.
“Peruntukan ini akan membolehkan 12,000 bakat bumiputera dilatih dan diperkasakan pada 2026, menjadikannya pengambilan tahunan terbesar dalam sejarah YP.
“2026 juga bakal menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kalinya, bilangan akauntan bertauliah bumiputera yang berdaftar baharu dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dijangka melebihi bilangan bukan bumiputera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ibrahim berkata, pelaksanaan sasaran tersebut akan digerakkan melalui pelbagai program profesional dan teknologi yang memberi tumpuan kepada bidang kritikal sejajar dengan keperluan industri masa kini.
Katanya, ia turut memfokuskan kepada penghasilan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang teknologi maklumat dan kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Matlamat kami adalah untuk melahirkan 2,000 akauntan bertauliah dan 10,000 pakar teknologi dalam tahun sama termasuk dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), dan Enterprise Resource Planning (ERP).
“Dengan peningkatan jumlah bakat teknologi Bumiputera berkemahiran tinggi, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa dan pelabur untuk membangunkan operasi mereka di negara ini,” katanya. – UTUSAN










