PETALING JAYA: Ratu wushu negara, Tan Cheong Min membuktikan dirinya berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila berjaya mempertahankan gelaran acara nangun wanita pada Piala Dunia Taolu di Haikou, China.
Atlet berusia 27 tahun kelahiran Melaka itu mempamerkan persembahan cemerlang untuk mengumpul 9.746 mata, sekali gus mengetepikan wakil Uzbekistan, Darya Latisheva yang meraih perak dengan 9.736 mata, manakala gangsa menjadi milik atlet Singapura, Kassandra Ong selepas mencatat 9.723 mata.
Kejayaan itu turut menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia dalam tempoh dua hari selepas Lee Jia Rong muncul juara acara daoshu wanita kelmarin.
Kemenangan tersebut menjadi suntikan keyakinan terbaik buat Cheong Min menjelang Sukan Asia di Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober ini apabila dia bakal mempertahankan pingat perak yang dimenanginya pada penampilan sulung di Hangzhou 2023.
Bagaimanapun, cabaran di Sukan Asia dijangka lebih mencabar apabila pemenang ditentukan menerusi gabungan markah acara nanquan dan nangun, sekali gus memerlukan Cheong Min mengekalkan konsistensi dalam kedua-dua disiplin jika mahu sekali lagi menaiki podium.
Sementara itu, Malaysia turut menambah koleksi pingat menerusi Pang Pui Yee yang meraih perak dalam acara qiangshu wanita selepas mengumpul 9.726 mata.
Pingat emas acara itu dimenangi wakil Vietnam, Duong Thuy Vi dengan 9.746 mata, manakala gangsa menjadi milik Atlet Neutral Bebas, Aksinila Schukina yang mencatat 9.723 mata.
Seorang lagi wakil negara, Bryan Ti pula menamatkan saingan di kedudukan ketujuh acara nangun lelaki selepas mengumpul 9.633 mata.
Untuk rekod, Piala Dunia Taolu hanya menghimpunkan lapan atlet terbaik dunia bagi setiap acara berdasarkan keputusan Kejohanan Wushu Dunia di Brazil tahun lalu, sekali gus menjadikannya antara kejohanan paling berprestij dalam kalendar sukan itu.-UTUSAN










