PETALING JAYA: Ratu Wushu negara, Tan Cheong Min mengakui dia kini lebih matang dalam memburu pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya selepas mempertahankan gelaran acara nangun wanita pada Kejohanan Piala Dunia Taolu di China.
Atlet berusia 27 tahun itu berkata, kepuasan sebenar bukan hanya kerana berjaya mempertahankan kejuaraan, tetapi apabila peningkatan dalam rutin persembahannya turut mendapat pengiktirafan daripada ramai pihak.
Katanya, persembahan kali ini jauh lebih kemas dan meyakinkan berbanding penampilan terdahulu hasil kerja keras yang dilakukan sepanjang tempoh persiapan.
“Kemenangan ini lebih bermakna daripada sekadar mempertahankan pingat emas. Paling penting, semua orang dapat melihat peningkatan yang jelas dalam rutin saya kerana ramai mengatakan kemahiran saya bertambah baik.
“Saya berasa amat berbangga dapat menghadiahkan pingat ini kepada pasukan dan negara. Ini adalah pertandingan pertama saya pada tahun 2026 dan ia memberikan permulaan yang sangat baik untuk musim ini,” katanya.
Cheong Min mempertahankan gelaran selepas mengumpul 9.746 mata, sekali gus mengatasi pencabar dari Uzbekistan, Darya Latisheva yang meraih 9.736 mata, manakala gangsa menjadi milik wakil Singapura, Kassandra Ong menerusi 9.723 mata.
Lebih penting, kejayaan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad wushu negara mula mengatur langkah menghadapi cabaran lebih besar di Sukan Asia Aichi-Nagoya yang menjadi sasaran utama musim ini.
Cheong Min percaya kemenangan tersebut mampu menjadi pembakar semangat untuknya terus meningkatkan prestasi dalam baki kejohanan tahun ini.
“Kemenangan ini juga menjadi pembakar semangat untuk saya membuat persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan selepas ini,” ujarnya.
Kejayaan Cheong Min turut melengkapkan pencapaian cemerlang Malaysia di Haikou apabila negara membawa pulang dua pingat emas selepas Lee Jia Rong terlebih dahulu menjuarai acara Daoshu wanita, sekali gus memberikan suntikan keyakinan terbaik buat kem negara menjelang Sukan Asia. – UTUSAN










