Keserasian ramuan Adelia, Adania juara dunia

Keserasian ramuan Adelia, Adania juara dunia

Gandingan negara, Adania Mohd. Redzwan (kanan) dan Adelia Nur Irwan Syazalee meraikan kejayaan muncul juara beregu perempuan Kejohanan Boling Remaja Dunia IBF selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat pada aksi final di Megalanes Sarawak, Kuching, pada Ahad. - FOTO MTBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keserasian di dalam dan luar gelanggang menjadi ramuan utama kejayaan pasangan boling remaja negara, Nur Adelia Irwan Syazalee dan Adania Mohd. Redzwan menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk muncul juara Kejohanan Boling Remaja Dunia IBF di Megalanes Sarawak, pada Ahad lalu.

Adelia berkata,hubungan rapat yang dibina sebagai rakan sepasukan memudahkan komunikasi ketika beraksi sekali gus membantu mereka mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan berkenaan.

“Kami sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, saling menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain.

“Dalam sukan boling, pasangan beregu mungkin berubah bergantung kepada keperluan pasukan, tetapi saya rasa persahabatan kami di luar gelanggang banyak membantu keserasian apabila bermain.

“Hubungan itu memudahkan komunikasi dan membantu kami memberikan persembahan yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Adelia mengakui kejuaraan yang diraih amat bermakna kerana ia hadir selepas segala usaha, latihan dan pengorbanan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil serta  menamatkan kemarau dua dekad Malaysia dalam acara beregu wanita.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dengan pencapaian ini. Kejuaraan ini amat bermakna kerana segala usaha, latihan dan pengorbanan kami akhirnya membuahkan hasil.

“Lebih istimewa apabila kami berjaya menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk bergelar juara beregu wanita. 

“Saya juga bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kutipan pingat keseluruhan pasukan Malaysia.Kejayaan ini memberi saya lebih semangat dan motivasi untuk terus bekerja keras serta memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Sebelum ini,  pasangan negara tersebut menewaskan wakil Amerika Syarikat (AS), Erin Klemencic-Elizabeth Teuber 2-0 (244-181, 207-201) pada aksi final sekali gus menghadiahkan gelaran dunia beregu perempuan kedua dalam sejarah negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN