KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengisi 95.8 peratus jawatan guru pendidikan khas di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat 9 Julai lalu, sebanyak 21,314 daripada 22,254 jawatan guru pendidikan khas di seluruh negara telah diisi.
“Daripada tahun 2023 sehingga bulan Julai 2026, sebanyak 1,055 orang guru pendidikan khas baharu telah berjaya mengisi kekosongan perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG9 di sekolah seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, 664 orang merupakan guru pendidikan khas di sekolah rendah dan 391 orang guru pendidikan khas di sekolah menengah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta kementerian menyatakan jumlah serta kategori kanak-kanak yang berdaftar dengan ketidakupayaan pembelajaran di negara ini serta keadaan semasa sistem pendidikan khas dalam memenuhi keperluan pendidikan mereka.
Katanya Kah Woh, pengisian jawatan guru pendidikan khas merupakan antara langkah KPM bagi menampung peningkatan enrolmen murid berkeperluan pendidikan khas di seluruh negara.
Sehingga 31 Mei lalu, seramai 161,891 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) berdaftar di institusi pendidikan KPM dengan 141,545 orang daripadanya merupakan murid dalam kategori masalah pembelajaran.
Pecahan jumlah MBPK masalah pembelajaran mengikut subkategori adalah autisme seramai 53,169 orang; intelektual, 39,254 orang; masalah pembelajaran spesifik, 24,148 orang; attention deficit hyperactivity disorder, 13,337 orang; sindrom down, 4,501 orang; lewat perkembangan global, 3,741 orang; dan lain-lain, 3,395 orang.
“MBPK kategori masalah pembelajaran boleh mengikuti pendidikan sama ada melalui Program Pendidikan Khas di Sekolah Pendidikan Khas, PPKI atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).
“Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 7,406 buah sekolah seluruh negara melaksanakan Program Pendidikan Khas. Jumlah ini merangkumi 35 buah SPK, 2,907 buah sekolah yang melaksanakan PPKI dan 4,406 buah sekolah melaksanakan PPI,” katanya. – UTUSAN







