IPOH: Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menghulurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu 554 mangsa ribut di sekitar Bercham di sini pada 19 Jun lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow, sumbangan itu bukan sekadar melibatkan kawasan kediaman tetapi kedai dan rumah ibadat.
“Senarai (mangsa) kami masih teliti sekali lagi sebab ada nama yang sama (bertindan). Sebab kita tidak pasti mangsa memiliki banyak rumah.
“Kalau dia punya tiga rumah (mangsa) rosak, kita pun kena adil jugalah bagi bantuan satu rumah sahaja,” katanya kepada pemberita di Kampung Baru Bercham di sini hari ini.
Program penyampaian cek cura itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Genting Malaysia, Spencer Lee.
Boon Piow berkata, 98 peratus mangsa yang terjejas telah pulang ke kediaman masing-masing.
“Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kontraktor dan syarikat tertentu telah memberi bantuan seperti membaiki rumah semua selain atap dan bumbung dengan harga kos.
“Selain itu, McDonald’s Malaysia ada bagi burger dan ada pihak bagi roti kepada pasukan penyelamat. Namun usaha Genting Malaysia jadi satu contoh apabila malapetaka, bencana alam berlaku terus menyalurkan bantuan, menghulurkan tangan,” katanya.
Bagi Spencer Lee, sumbangan itu berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mereka yang memerlukan pertolongan dengan kerjasama kerajaan.
Dianggarkan RM1.2 juta nilai kerugian yang dialami oleh para penduduk di sekitar Bercham ekoran kejadian ribut tersebut. – UTUSAN










