PETALING JAYA: Penubuhan Skim Insurans Kesihatan dan Sosial Kebangsaan (NHSI) perlu dilaksanakan segera kerana ia mampu menjana sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun melalui caruman majikan dan pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan & Sosial, Azrul Mohd. Khalib berkata, skim tersebut penting bagi melengkapkan peruntukan tahunan di bawah Belanjawan Persekutuan selain menjadi sumber baharu yang mampan untuk memperkukuh sistem kesihatan negara.
“Dengan mengguna pakai kadar sumbangan sama seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu 1.75 peratus majikan dan 0.5 peratus pekerja, NHSI akan melengkapkan peruntukan kesihatan tahunan di bawah belanjawan kerajaan, bukan menggantikannya.
“Ia boleh menjadi sumber untuk menambah baik pilihan rawatan dan penjagaan, memperluas tenaga kerja (pengambilan, pengekalan, gaji lebih baik) serta menjadi sumber penting ketika krisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul dalam masa sama menggariskan tiga tindakan kritikal yang perlu diberi perhatian kerajaan iaitu pembiayaan kesihatan dan penjagaan warga emas, pemansuhan subsidi gula dan kenaikan elaun on-call untuk doktor termasuk doktor gigi.
Beliau berkata, dengan lebih ramai penduduk semakin berusia dan memerlukan perkhidmatan khusus, sebahagian dana yang dikutip melalui NHSI boleh memastikan penjagaan warga emas dibiayai dan dikekalkan.
“Lebih 11 peratus rakyat Malaysia kini berusia lebih 60 tahun. Jika hanya bergantung kepada keluarga atau sektor swasta, ramai warga emas tidak akan mendapat sokongan yang sesuai terutama untuk penjagaan jangka panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan juga seharusnya memansuhkan caj RM1 dan RM5 bagi rawatan pesakit luar serta rawatan pakar di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
“Rakyat tidak sepatutnya perlu membayar apa-apa ketika mendapatkan rawatan. Caj ini mengekalkan fiksyen bahawa kos kesihatan di fasiliti kerajaan adalah lebih murah, sekali gus mengelirukan orang ramai,” katanya.
Semalam, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, skim pembiayaan kesihatan lebih baik untuk rakyat gagal dilaksanakan kerajaan kerana idea dikemukakan banyak berdasarkan ‘analisis desktop’ yang tidak membabitkan libat urus dengan para pemegang taruh dalam perkhidmatan itu.
Keadaan itu menyebabkan pembaharuan yang cuba dibawa sejak 40 tahun lalu tidak dapat dilakukan dan kerajaan terpaksa menggunakan mekanisme lama yang sedia ada.
Sementara itu, mengenai subsidi gula, Azrul berkata kerajaan wajar memansuhkan semua bentuk subsidi dan mengeluarkan gula daripada jadual barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana ia membebankan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM500 juta setahun.
“Subsidi gula sepatutnya dimansuhkan lebih 10 tahun lalu. Namun akibat harga gula terus dikawal dan tidak ditentukan oleh pasaran, kerajaan terpaksa membuat bayaran kepada pengilang gula sejak November 2023 sebagai insentif atau subsidi.
“Subsidi itu berjumlah RM1 sekilogram bagi gula mentah manakala bertapis mencecah kira-kira RM42 juta sebulan dan antara RM500 juta hingga RM600 juta setahun,” jelasnya.
Menurut Azlan, RM500 juta subsidi gula setahun menghapuskan semua hasil cukai minuman bergula yang kini sekitar RM300 juta selain melemahkan kempen Kementerian Kesihatan ‘Perangi Gula’.
“Gula murah secara tiruan mendorong peningkatan pengambilan gula. Kesan langsungnya adalah penularan tidak terkawal penyakit diabetes yang membawa kepada penyakit tidak berjangkit seperti penyakit buah pinggang kronik dan kardiovaskular, menyebabkan kematian.
“Ia turut menelan belanja berbilion ringgit serta ribuan nyawa setiap tahun,” katanya.
Bagi kebajikan petugas kesihatan, Azrul menegaskan kerajaan perlu menambah RM80 juta setahun untuk menaikkan elaun on-call antara RM55 hingga RM65 setiap syif bagi pegawai perubatan, doktor gigi dan pakar.
Katanya, kadar sedia ada iaitu RM220 untuk syif hujung minggu 24 jam dan RM250 bagi pakar bersamaan RM9.16 sejam adalah tidak adil serta mengeksploitasi.
“Kadar tersebut lebih rendah daripada kadar sejam pekerja restoran dan barista di kedai kopi. Ia menjadi salah satu punca ketidakpuasan hati, kekecewaan dan penghijrahan tenaga kerja mahir daripada sektor kesihatan awam. Petugas kesihatan kita berhak mendapat ganjaran lebih baik,” katanya. – UTUSAN










