IPOH: Seorang wanita warga Myanmar ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Kuang dekat Chemor, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 12.30 tengah hari.
“Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang meminta bantuan menghubungi ambulans selepas memaklumkan seorang wanita warga Myanmar ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah rumah.
“Pemeriksaan ke atas wanita tersebut mendapati mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan kematian wanita itu, tangkapan dijalankan ke atas suami mangsa bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya. – UTUSAN