Hakim, Qabil mampu ke saingan MotoGP - Wazi

Hakim, Qabil mampu ke saingan MotoGP – Wazi

Hakim Danish Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba pelapis baharu yang sedang meningkat naik seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan memiliki masa depan cerah untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, pelumba muda negara mampu menunjukkan bakat, kemahiran dan semangat di tahap yang baik.

“Cuma yang saya harapkan adalah mereka mampu bertahan lama dan mengekalkan prestasi secara konsisten. Saya harap mereka terus berkembang seiring dengan dunia sukan permotoran yang semakin mencabar.

“Untuk mencapai tahap itu, mereka perlu sentiasa memperbaiki diri dan menambah baik prestasi secara berterusan.

“Sekarang, kita juga mempunyai akademi dan tenaga pengajar seperti Zulfahmi Khairuddin yang memberi latihan dan bimbingan kepada pelumba muda berbakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, bakat pelumba muda turut digilap oleh pasukan luar negara sekali gus menunjukkan potensi pelumba motosikal negara turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Qabil bakal menggalas tanggungjawab bagi mengetuai pasukan negara pada perlumbaan akhir Kejohanan Dunia FIM MiniGP 2025 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, minggu ini.

Qabil Irfan Azlan

Hakim Danish baru-baru ini berjaya menamatkan saingan Moto3 dalam kelompok kutipan mata selepas menamatkan aksinya di kedudukan ke-12 pada Grand Prix Motosikal Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal.

Dia yang memegang status sebagai pelumba gantian untuk pasukan Frinsa MT Helmets-MSi, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 34 minit 29.458 saat (s) untuk mengutip empat mata pertamanya pada Kejuaraan Dunia.

Tambah Wazi, dia percaya kedua-dua pelumba itu mampu pergi lebih jauh sehingga ke saingan MotoGP.

“Peluang untuk ke MotoGP memang ada, namun perjalanan ke arah itu bukan mudah.

“Bagi saya, jika mereka berjaya meraih kemenangan dalam Moto2 atau Moto3, itu juga satu pencapaian besar. Yang penting, mereka kekal fokus dan terus memberikan usaha terbaik untuk mara ke tahap seterusnya dalam dunia perlumbaan motosikal profesional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN