Veteran ATM laung ‘merdeka’, imbau detik keramat 1957 - Utusan Malaysia

Veteran ATM laung ‘merdeka’, imbau detik keramat 1957

OTHMAN Tan (kiri) dan Khairul Zukri Abdullah diberi tanggungjawab untuk melaungkan ‘merdeka’ dan membaca lafaz ikrar Rukun Negara pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang MBK 1, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Detik bersejarah 31 Ogos 1957 kembali segar dalam ingatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila diberi penghormatan melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang MBK 1 di sini, semalam.

Othman Tan, 87, berkata, dia menyaksikan sendiri lau­ngan keramat oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, 68 tahun lalu ketika bertugas sebagai anggota Batalion Keenam Askar Melayu.

“Pada pagi itu, kami diarah­kan menjaga pintu masuk stadium. Saya nampak sendiri Tunku Abdul Rahman, raja-raja Melayu dan wakil Bri­tish berada di atas pentas dan mendengar sendiri Tunku melaungkan ‘merdeka’.

“Perasaan saya ketika itu cukup bangga kerana itulah Hari Kemerdekaan pertama tanah air,” katanya ketika ditemui.

Othman yang berkhidmat selama tujuh tahun dalam ATM dan lima tahun sebagai anggota simpanan berkata, pasukan Askar Melayu ketika itu belum menerima gelaran ‘Diraja’.

“Selepas merdeka barulah kami bergelar Askar Melayu Diraja dan selepas itu juga, kami dipilih menjadi pasukan pertama mengawal Yang di-Pertuan Agong pertama,” katanya.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan kini jauh lebih meriah berbanding zaman awal kemerdekaan.

Dalam majlis itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Khairul Zukri Abdullah turut mencipta sejarah peribadinya apabila pertama kali diberi amanah membacakan ikrar Rukun Negara di hadapan ribuan orang yang membanjiri Padang MBK 1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN