PETALING JAYA: Malaysia perlu memanfaatkan krisis global semasa sebagai pemangkin untuk melaksanakan pembaharuan strategik yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan perlu menjadikan peningkatan kualiti hidup isi rumah serta produktiviti firma tempatan sebagai keutamaan dalam merangka tindak balas terhadap krisis global semasa.
Katanya, ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik geopolitik ketika ini menuntut negara melihat kesan krisis secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada isu bekalan tenaga.
“Dalam konteks risiko semasa dan yang bakal muncul susulan peningkatan konflik ketenteraan pelbagai hala di Asia Barat, adalah penting untuk memahami bahawa krisis ini pada asasnya menjejaskan akses kepada bekalan barangan yang menyokong keperluan asas kehidupan harian sesebuah isi rumah.
“Kesan yang lebih kritikal bukan sekadar pengurangan bekalan minyak mentah, gas asli cecair (LNG) atau produk petroleum lain, tetapi juga gangguan terhadap sistem dan pengeluaran pertanian, pengangkutan serta logistik barangan dan perkhidmatan penting yang akhirnya menjejaskan mata pencarian serta kesejahteraan keseluruhan isi rumah,” katanya.
Menurut KRI, pengalaman ketika berdepan krisis minyak dunia pada 1970-an menunjukkan setiap krisis turut membuka ruang kepada perubahan besar dalam dasar dan institusi yang memberi kesan kepada pembangunan sesebuah negara.
“Penyusunan semula institusi global serta kerangka makroekonomi dan ideologi yang menyokongnya termasuk pendekatan pasaran bebas dan neoliberalisme terhadap pembangunan yang bermula pada tempoh tersebut terus memberi kesan jangka panjang sehingga ke hari ini.
“Salah satu kesan langsung daripada krisis tenaga 1970-an ialah penubuhan Agensi Tenaga Antarabangsa, sebuah organisasi pelbagai hala yang bertujuan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan jangka panjang dalam kalangan negara anggota OECD bagi melaksanakan perubahan struktur terhadap pasaran tenaga global,” katanya.
KRI berkata, Malaysia turut mengambil peluang daripada krisis tersebut dengan melaksanakan beberapa pembaharuan penting yang mengukuhkan pengurusan sumber asli dan keselamatan bekalan makanan negara.
“Bagi Malaysia, 1970-an menandakan permulaan usaha kerajaanmenasionalisasikan industri petroleum negara. Pada 1974, sokongan padu ahli-ahli Parlimen terhadap pengesahan Akta Pembangunan Petroleum 1974 membawa kepada pengkorporatan Petronas di bawah Akta Syarikat 1965.
“Selain itu, satu lagi inisiatif yang lahir secara langsung daripada kejutan harga minyak 1973/74 ialah pengenalan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan meningkatkan penanaman dan pengeluaran tanaman makanan bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan yang dihadapi negara, selain menambah pendapatan dan memperkukuh mata pencarian penduduk luar bandar,” katanya.
Pada masa sama, KRI berkata, langkah bantuan jangka pendek masih diperlukan bagi mengurangkan kesan segera krisis terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, usaha itu perlu disokong dengan intervensi strategik yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
“Langkah-langkah bantuan jangka pendek seperti pengurusan permintaan terhadap penggunaan bahan api bersubsidi sememangnya perlu, namun ia sahaja tidak mencukupi.
“Malaysia juga perlu melaksanakan intervensi strategik yang selaras dengan matlamat pembangunan lebih menyeluruh sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta kerangka Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN










