Masalah slip disc dan tulang pinggul beralih selepas bersalin punca Tash Yong tolak tawaran berlakon - Utusan Malaysia

Masalah slip disc dan tulang pinggul beralih selepas bersalin punca Tash Yong tolak tawaran berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Tash Yong mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran berlakon kerana mengalami masalah slip disc (cakera tergelincir) dan tulang pinggul beralih selepas melahirkan cahaya mata pertamanya.

Tash atau Nur Natasha Shazlia Rosli, 36, berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana dia bimbang dua masalah kesihatan itu menyebabkan dia tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya di set penggambaran.

Menurut Tash, dia mengakui berasa takut untuk kembali bekerja dalam masa terdekat memandangkan tahap kesihatan fizikalnya yang masih belum pulih sepenuhnya sehingga kini.

“Alhamdulillah, sebenarnya memang ada tawaran yang datang tetapi terpaksa ditolak kerana saya masih mempunyai masalah kesihatan selepas melahirkan anak tempoh hari.

“Selepas bersalin, saya mengalami masalah slip disc dan tulang pinggul beralih posisi dan sehingga sekarang saya masih lagi dalam proses untuk sembuh dan terus-terang saya berasa agak takut.

“Katakanlah saya rasa diri sudah okey dan terus ambil kerja penggambaran, saya bimbang tidak boleh beri komitmen dengan baik nanti. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain kerana kerja ini turut melibatkan komitmen daripada pihak lain juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Tash, dia hanya akan kembali berlakon sekiranya tubuh badannya sudah benar-benar sihat dan bersedia untuk bekerja semula.

Buat masa ini, dia mahu meletakkan diri sendiri dan anaknya sebagai keutamaan sebelum memikirkan tentang kerjaya seni.

“Sebab itu saya mahu pastikan diri saya betul-betul pulih dahulu, barulah saya berani untuk menerima sebarang tawaran terutamanya dalam bidang lakonan dan pengacaraan yang sememangnya dunia saya.

“Pada fasa ini, saya memang fokus kepada diri sendiri untuk proses pemulihan dan penyembuhan. Dalam masa sama, saya juga fokus kepada anak lelaki saya yang sedang dalam proses membesar.

“Memandangkan ini adalah bayi pertama dan saya pula pertama kali menjadi ibu, memang banyak perkara yang perlu saya ambil tahu dan pelajari,” katanya.

Untuk rekod, Tash yang sebelum ini terkenal menerusi drama Menantu Ting Tong telah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh dan usahawan media sosial, Boss Kay atau Azrin Mohd Anwar pada Ramadan 2023 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Kay Ayden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN