KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM500,000 menerusi Kempen Cabutan Prime Bonanza sebagai usaha menghargai pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime dan menggalakkan budaya menabung bagi tujuan pendidikan.
Kempen yang berlangsung bermula hari ini hingga 31 Oktober depan itu menawarkan pelbagai hadiah lumayan kepada 106 pemenang menerusi dua kategori iaitu Platinum dan Gold.

Bagi kategori Platinum, hadiah utama ialah sebuah Jaecoo J7 2WD PHEV, diikuti hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, selain 50 hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap seorang.
Kategori Gold pula menawarkan sebuah Proton X50 Flagship sebagai hadiah utama, diikuti hadiah wang tunai RM30,000 dan RM10,000 serta 50 hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang.
PTPTN dalam kenyataan berkata, kempen itu merupakan tanda penghargaan kepada pendeposit yang terus memilih Simpan SSPN Prime sebagai instrumen simpanan pendidikan, di samping memupuk amalan menabung secara berterusan demi masa depan generasi Malaysia.
Katanya, pendeposit hanya perlu membuka akaun baharu atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen untuk melayakkan diri menyertai cabutan.
“Setiap simpanan bersih RM100 dalam Simpan SSPN Prime melayakkan pendeposit menerima 10 cabutan, manakala simpanan yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus akan menerima 20 cabutan.
“Pendeposit juga perlu memastikan akaun kekal aktif dan tidak membuat sebarang pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 November 2026 hingga 31 Januari 2027,” katanya.
Ketua Eksekutif PTPTN berkata, Kempen Cabutan Prime Bonanza mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menghargai kepercayaan dan kesetiaan pendeposit yang memilih Simpan SSPN Prime sebagai instrumen simpanan pendidikan.
Katanya, kempen itu bukan sahaja menawarkan ganjaran menarik kepada pendeposit, malah menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa dan masyarakat membudayakan amalan menabung secara konsisten sebagai persediaan awal membiayai pendidikan tinggi anak-anak.

Dalam majlis sama, PTPTN turut meraikan pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 dan Kempen Simpan SSPN Baru Slay!, dengan hadiah utama wang tunai RM20,000 bagi Cabutan WOW! Plus Siri 1 serta sebuah motosikal Yamaha NVX 155 bagi Cabutan Slay 1.
Sementara itu, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.
Sempena Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kriteria Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000, membolehkan pendeposit yang layak memohon geran sepadan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga. – UTUSAN










