UMNO Kelantan kehilangan tokoh veteran

UMNO Kelantan kehilangan tokoh veteran

JENAZAH Allahyarham Mohd. Jelani Jaafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: UMNO Kelantan kehilangan seorang tokoh pemimpin veteran apabila bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Jelani Jaafar, 88, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga pada pukul 9 malam tadi.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kelantan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dikenang sebagai seorang pemimpin berwibawa dan banyak berjasa dalam pembangunan masyarakat setempat.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah Semerak, di sini pada pukul 9.30 pagi ini dengan diiringi keluarga, sahabat handai serta para pemimpin UMNO setempat.

Seorang ahli keluarga, Mohd. Afandi Mohamad Adam ketika ditemui berkata, Allahyarham sentiasa menekankan soal kebajikan rakyat sepanjang hayatnya dan dikenang sebagai pemimpin yang mudah didekati.

“Arwah menghidap penyakit angin ahmar dan parkinson dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) pada pukul 8 malam selepas menghadapi masalah tekanan darah rendah dan sesak nafas. Keadaan beliau semakin stabil dan dibawa pulang ke rumah namun menghembus nafas terakhir malam tadi,”katanya.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, arwah pernah menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh yang banyak meninggalkan jasa dalam pembangunan pertanian dan nelayan  sepanjang pentadbiran BN di Kelantan.

“Arwah juga turut menerajui penerbitan akhbar Sinar Kelantan sebagai lidah rasmi kerajaan pada waktu itu. Banyak memberi sumbangan dan nasihat kepada UMNO Bahagian Pasir Puteh selepas persaraan beliau dalam arena politik disebabkan masalah kesihatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN