Lelaki lemas di kolam takungan air merupakan pelajar tahun akhir UPM

Lelaki lemas di kolam takungan air merupakan pelajar tahun akhir UPM

MUHAMMAD Adam Danish Mohd. Anuar ditemukan lemas di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 dan 2, Sungai Buloh pada Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang ditemukan lemas di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 dan 2, Sungai Buloh, Selasa lalu dikenal pasti sebagai pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.53 pagi.

Katanya, maklumat diterima melalui pusat panggilan NG999 memaklumkan terdapat seorang lelaki Melayu berumur 23 tahun dipercayai lemas di kolam takungan air berkenaan.

“Mangsa Muhammad Adam Danish Mohd. Anuar merupakan pelajar program Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM.

“Difahamkan, mangsa juga adalah seorang pelajar latihan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Hafiz, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kolam berkenaan.

Bagaimanapun, kematian mangsa disahkan oleh pembantu perubatan Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam sejurus selepas mangsa berjaya dikeluarkan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HASA bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini.

“Sehingga kini, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, UPM menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis lalu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan atas pemergiannya.

“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga Muhammad Adam Danish bin Mohd Anuar, Pelajar Tahun Akhir, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki lemas selepas dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana di sini pada Selasa.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN