KUALA LUMPUR: Isu buli dijangka menjadi antara perbahasan serius pada sidang Dewan Rakyat akan datang selepas semua laporan daripada siri Townhall Hentikan Buli diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, laporan berkenaan perlu dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin sebelum dibentangkan untuk perbahasan di Parlimen.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan hasil perbincangan tidak sekadar menjadi laporan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan serta keputusan yang memberi kesan kepada rakyat.
“Perjumpaan hari ini penting, laporan itu penting dan perbahasan juga penting. Akhirnya keputusan yang diambil kerajaan lebih penting, namun ia mesti bermula dengan laporan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi Townhall Hentikan Buli di Dewan Bankuet, Parlimen, hari ini.
Johari turut menjelaskan sesi townhall tidak terhad di Parlimen, sebaliknya akan diperluaskan ke sekolah dan lokasi lain di luar Kuala Lumpur bagi mendapatkan input lebih menyeluruh.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan maklum balas daripada sesi townhall amat diperlukan bagi membolehkan jawatankuasa khas berkenaan mengemukakan cadangan kepada Parlimen untuk mengekang gejala buli.
“Pandangan ini akan dikumpul, dibukukan dan dijadikan laporan sebelum dibenarkan untuk dibahas supaya seluruh negara tahu jawatankuasa ini serius memandang isu buli,” katanya. – UTUSAN











