Tidak berganjak selagi jasad anak belum jumpa

Tidak berganjak selagi jasad anak belum jumpa

SUASANA hiba selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat Muhammad Amsyar Muqri Masri di lokasi kejadian di Kampung Sanglang, Ayer Hitam di Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Penantian seorang bekas tentera berakhir dengan duka apabila mayat anaknya ditemukan lemas berhampiran mesin padi yang terjunam ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Ayer Hitam.

Masri Hassan, 43, berkata, dia bersyukur setelah mayat Muhammad Amsyar Muqri, 18, akhirnya ditemukan apabila tidak berganjak dari lokasi kejadian sejak semalam melainkan cuma pulang ke rumah di Sungai Korok untuk solat.

“Pagi ini saya pulang untuk solat Subuh dan buat solat hajat berdoa supaya anak saya ditemukan secepat mungkin. Saya dan keluarga reda serta menerima seadanya apa yang menimpa anak kami. Alhamdulillah, pagi ini anak kami ditemukan bersih wajahnya dan nampak tenang sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mayat remaja berkenaan ditemukan pada pukul 10 pagi tadi, hanya 10 meter dari lokasi dipercayai dia terjatuh dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Dua daripada tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi diselamatkan oleh pasukan bomba.

Tambah Masri, anak sulung daripada dua beradik itu mengikuti tiga rakan sekampungnya ke lokasi itu kerana bercuti tiga hari sempena Maulidur Rasul serta cuti hujung minggu.

“Kalau hujung minggu, dia akan bertemu dengan rakan-rakannya tetapi saya tidak tahu arwah ikut naik mesin padi ini. Semalam saya dimaklumkan suruh datang sini dan apabila sampai, saya dapati anak hilang manakala tiga rakannya selamat,” katanya.

Katanya, anaknya adalah penuntut semester pertama Diploma Kejuruteraan Bangunan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN