WASHINGTON: Seorang lelaki ditahan di Utah selepas bertindak menikam seorang lelaki Muslim berkali-kali, selain mengaku bahawa dia menyasarkan mangsa disebabkan oleh pegangan agamanya, demikian menurut rekod mahkamah pihak polis pada Selasa.
Pihak polis memaklumkan suspek mengaku berniat untuk membunuh orang Islam dan individu berkenaan boleh membawa bahaya besar kepada orang awam jika dibebaskan, berdasarkan tindakan ganas, ideologi serta rancangan awal untuk mencetuskan serangan dengan jumlah korban yang besar.
“Insiden tersebut dilaporkan berlaku di dalam pusat beli-belah Valley Fair Mall di West Valley City, Utah pada Isnin. Mangsa lelaki terbabit mengalami kesan tikaman yang banyak di seluruh badannya dan mengalami pendarahan yang teruk,” jelas pihak polis dalam satu afidavit.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa suspek berjaya digari dan ditumpaskan ke lantai oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum anggota polis tiba.
Berdasarkan rekod penjara pada Selasa, suspek yang dikenali sebagai Peter Michael Larsen, 48, telah dimasukkan ke Penjara Daerah Salt Lake bagi membantu siasatan atas pertuduhan cubaan membunuh dan salah laku pemilikan senjata berbahaya yang dilarang.
Mangsa merupakan seorang lelaki beragama Islam yang bekerja di sebuah kiosk di pusat beli-belah berkenaan.
Menurut afidavit penahanan polis, suspek mengakui dia menyasarkan mangsa dengan niat untuk membunuhnya disebabkan oleh faktor agama.
Memetik laporan Salt Lake Tribune dalam temu bual bersama Ketua Pusat Islam Utah, Imam Shuaib Din yang berhubung dengan keluarga mangsa, suspek pada mulanya menghampiri lelaki berkenaan untuk bertanyakan namanya, menyoal tentang agamanya dan menyatakan hasrat untuk membeli sebotol air.
Menurut Shuaib, sebaik sahaja mangsa berpaling untuk mengambil air tersebut, penyerang terbabit terus bertindak menikamnya secara bertubi-tubi. Mangsa kini dilaporkan sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal.
Seorang rakan mangsa melancarkan tabung bantuan di laman GoFundMe, yang mana hantaran itu menyatakan mangsa ditikam sebanyak 15 kali dan memerlukan beberapa siri pembedahan.
Dalam pada itu, penyerang terbabit turut dimasukkan ke hospital terlebih dahulu akibat kecederaan yang dialaminya ketika bergelut dengan orang awam yang cuba menumpaskannya, sebelum dia dibawa ke Penjara Daerah Salt Lake.
Beberapa kumpulan pejuang hak asasi kemanusiaan di AS menyatakan sentimen Islamofobia dikesan semakin meningkat sejak lebih dua dekad lalu pasca-serangan 11 September 2001.
Keadaan itu dilaporkan menjadi semakin parah baru-baru ini ekoran dasar anti-imigrasi, ideologi ketuanan kulit putih serta kesan daripada krisis perang Israel di Gaza.










