PETALING JAYA: DAP menentang pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan kerana bercanggah prinsip demokrasi serta mengetepikan hak rakyat memilih wakil mereka menerusi pilihan raya.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, malah pelaksanaan ADUN lantikan menambah beban kewangan kerajaan negeri dan mencemarkan sistem demokrasi yang berteraskan mandat rakyat.
Sehubungan itu katanya, DAP memaklumkan semua jawatan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang disandang ahlinya akan dilepaskan dalam masa terdekat sebagai tanda pendirian terhadap cadangan tersebut.
“Prinsip tidak boleh dijual beli. Demokrasi tidak boleh dikompromi.
“Kami akan terus berdiri bersama rakyat, mempertahankan mandat rakyat dan memelihara maruah sistem demokrasi negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
DAP Melaka semalam mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri ini mengundi menolak rang undang-undang berkenaan yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Sementara itu Poay Tiong berkata, sesi penjelasan bersama ahli-ahlinya telah diadakan malam semalam di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Jelas Poay Tiong, pertemuan itu bertujuan menerangkan rasional di sebalik tindakan semua ADUN parti berkenaan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri.
“Malam tadi, kami telah mengadakan pertemuan bersama para ahli DAP Melaka untuk menerangkan serta menjelaskan keputusan ADUN DAP menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka.
“Terima kasih kepada semua ahli yang berdiri teguh bersama kami dan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan ini,” katanya.- UTUSAN










