PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan anggotanya dengan kes rogol, cabul dan persetubuhan dengan menyifatkan ia tuduhan tidak berasas serta palsu.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat berkata, siasatan dalaman yang dijalankan terhadap dakwaan yang tular sejak tahun 2024 mendapati aduan berkenaan bercanggah dengan fakta sebenar.
Katanya, anggota yang terlibat telah membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan berkenaan.
“Pegawai dan anggota yang terlibat turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.
“Penggunaan platform media sosial sebagai medium membuat aduan adalah tidak profesional dan dilihat seolah-olah bertujuan mencemarkan imej TDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TDM dalam masa yang sama turut memaklumkan sehingga kini pengadu tidak membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaan jenayah seperti yang tular di media sosial.
“Selain itu, akaun tanpa identiti (anonymous) yang menularkan dakwaan berkenaan telah dipadamkan daripada media sosial,” katanya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang anggota TDM terbabit kes rogol yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Katanya, pihak ATM mengambil maklum mengenai dakwaan berkenaan.
Mengulas lanjut, TDM menegaskan, budaya ‘trial by viral’ atau penghakiman melalui media sosial tidak boleh dinormalisasikan kerana ia berpotensi menjejaskan keadilan dan reputasi pihak yang terlibat.
“TDM akan menggunakan segala instrumen undang-undang sivil dan jenayah bagi mengekang gejala ini.
“Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.- UTUSAN










