TFC mudah ‘benam’ Melaka FC

TFC mudah ‘benam’ Melaka FC

PEMAIN Terengganu FC (TFC), Rainderson Da Costa tengah) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan ketika bertemu Melaka FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan selepas menundukkan Melaka FC 4-0 dalam aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah anak buah K. Devan yang sebelum ini mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut.

Walaupun bermula perlahan, corak permainan skuad tuan rumah berubah pada pertengahan babak pertama dengan lebih kerap melakukan asakan ke pintu gol lawan. Selepas beberapa percubaan, skuad Penyu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi rembatan kencang Yann Mabella hasil hantaran lintang Azam Azmi Murad.

Terdahulu, jaringan penyerang import itu dibatalkan selepas pengadil mendakwa Azam Azmi berada dalam kedudukan ofsaid, namun keputusan itu ditarik balik selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkannya.

Jaringan pembukaan itu nyata menjadi tonik buat TFC sebelum Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua tujuh minit kemudian apabila tenang menyudahkan umpanan Gabriel Silva.

Malang bertimpa buat Melaka apabila Che Rashid Che Halim dibuang padang pada minit ke-45 kerana sengaja menahan bola dengan tangan di kawasan kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah.

Peluang itu dimanfaatkan penyerang Brazil, Careca yang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengukuhkan kedudukan TFC, 3-0. Beraksi dengan kelebihan seorang pemain, TFC terus menekan benteng lawan dan menambah derita Melaka pada penghujung masa kecederaan babak pertama apabila Yann sekali lagi meledak untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Bersambung babak kedua, Melaka cuba bangkit dengan lebih tersusun apabila beberapa asakan TFC dapat dipatahkan, biarpun skuad tuan rumah terus mencipta deretan peluang untuk menambah jaringan.

Keputusan kekal 4-0 sehingga tamat perlawanan, membawa skuad Penyu naik ke tangga kedua liga dengan 10 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN