PORT DICKSON: Pengusaha stesen minyak di daerah ini mengambil inisiatif menyediakan kaunter khas bagi melancarkan proses penebusan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengusaha stesen minyak Shell Sunggala, Rusiah Ahmad, 53, berkata, pada masa yang sama, orang ramai dinasihat untuk memastikan cip MyKad mereka untuk berada dalam keadaan baik.
“Untuk hari ini, rata-rata anggota keselamatan teruja menunjukkan kad tentera serta polis mereka untuk dimasukkan ke dalam mesin yang akan memaparkan berapa jumlah liter yang tersedia untuk mereka.
“Kami juga menyediakan kaunter khas bagi melancarkan proses ini, namun, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan cip MyKad mereka berada dalam keadaan baik agar proses lebih lancar.
“Melalui sistem ini, maklumat berkaitan akan terpapar termasuk kelayakkan untuk menerima subsidi. Jika tiada lesen, akan tertera tidak layak, dan ini juga sudah kami uji membabitkan individu tiada lesen memandu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ujar Rusiah lagi, bagi pelaksanaan hari pertama BUDI95 hari ini, pihak juga sudah bersedia lebih awal memandangkan daerah tersebut juga dikenali sebagai bandar tentera darat.
“Hari pertama ini, tahap kerjasama penerima terdiri daripada anggota tentera serta polis sangat baik dan kamibharap kerjasama baik ini juga akan diteruskan pada pelaksanaan penuh 30 September ini,” katanya. – UTUSAN










