SD 120 ketua bahagian untuk kukuhkan parti – Ronald

SD 120 ketua bahagian untuk kukuhkan parti – Ronald

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akuan bersumpah (SD) yang ditandata­ngani oleh 120 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini tujuannya untuk memperkukuhkan kedudukan parti serta gabungan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, SD tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk melemahkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ia tidak wajar dilihat secara negatif.

“Saya tidak nampak SD tersebut. Tetapi saya pasti ia hanya dibuat dengan niat baik untuk mengukuhkan parti, untuk mempersiapkan parti bersama dengan rakan-rakan dalam ke­perluan menghadapi cabaran besar. Jadi saya pasti benar ia hanya dibuat bermatlamat untuk mengukuhkan parti,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 8 September lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD agar parti mempertimbang peralihan kuasa daripada Muhyiddin kepada timbalan beliau, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi yang mengakui SD itu dibuat dengan­ mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Namun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, SD tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan jawatan Presiden atau apa-apa jawatan yang dipilih secara sah melalui pemilihan parti.

Katanya, Perhimpunan Agung Tahunan parti merupakan platform tertinggi yang mengatasi semua platform lain kecuali perlembagaan Bersatu.

Mengulas sama ada 120 ke­tua bahagian berkenaan wajar dikenakan tindakan tata tertib, Ronald berkata, perkara itu perlu diteliti kembali dan terpulang kepimpinan tertinggi untuk memutuskan perkara tersebut.

Ini kerana jelasnya, soal im­plikasi SD itu perlu dibincangkan secara mendalam di pe­ringkat kepimpinan parti kerana tiada seorang pun ahli mahu melihat parti menjadi kacau-bilau atau hancur.

“Biarkan parti memutuskan tentang hal ini. Biarkan ke­pimpinan parti duduk dan bincang tentang implikasi apa yang berlaku. Tetapi saya katakan bahawa tiada seorang dalam parti yang ingin melihat parti ini berkecamuk, dihancurkan, dimusnahkan.

“Jadi saya tidak fikir sesiapa dalam parti melihat yang dilakukan itu adalah untuk menghancurkan parti, ia lebih kepada apa manfaat yang ingin dibawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini