TAWAU: Rundingan agihan kerusi PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih berjalan khususnya membabitkan kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan keputusan muktamad mengenai penentuan calon akan diumumkan apabila tiba masanya.
“Segalanya masih dalam rundingan. Kita doa, usaha dan tawakal. Apa pun kemungkinan boleh berlaku, jadi kita perlu sentiasa bersiap siaga.
“Mengenai kerjasama dalam kerajaan perpaduan, sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sangat positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pusat Khidmat Biro Kesihatan, Kebajikan, Belia dan Sukan serta Pendidikan di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, nama bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi disebut-sebut antara calon PKR yang berpotensi diketengahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang kini disandang oleh Sarifuddin Hatta dari Parti Warisan Sabah.
Nurul Izzah turut menekankan kepentingan keterlibatan ahli PKR dalam media sosial bagi mendekati pengundi muda yang dianggap sebagai penentu utama keputusan PRN kali ini.
“Anak muda sekarang mencari maklumat melalui TikTok, WhatsApp dan media sosial lain. Kritikan membina sangat penting kerana ia membantu kita memperbaiki kelemahan. Kita perlu gunakan saluran komunikasi ini dengan lebih bijak,” jelasnya.
Beliau turut menekankan tiga tema utama yang dibawa PKR menjelang PRN Sabah iaitu khidmat, kerjasama sepakat, dan visi di samping isu pekerjaan dan pembangunan ekonomi juga menjadi antara keutamaan yang dekat di hati pengundi muda Sabah.
“Saya ditemui seorang anak muda di Batu Sapi, Sandakan yang sudah tamat diploma tetapi terpaksa bekerja di Semenanjung. Anak muda mahu peluang pekerjaan di negeri sendiri, dekat dengan keluarga mereka. Inilah yang perlu kita usahakan.
“PRN bukan sekadar pilihan raya, tetapi ruang untuk kita memberikan khidmat kepada rakyat. Melalui kerjasama, kita bersatu walaupun bukan berasal dari sini. Dan visi kami jelas mahu memastikan janji-janji Pusat kepada Sabah ditunaikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Madani dalam melaksanakan janji dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk penyaluran dana interim dan penglibatan wakil Sabah dalam agensi persekutuan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri serta kuasa bekalan elektrik dan air.
Beliau optimis hasil tuntutan itu akan dapat dimaksimumkan selepas PRN, dengan kerjasama wakil rakyat negeri yang komited.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bahawa parti sudah hampir memuktamadkan rundingan dengan semua kelompok menjelang PRN.
“Keadilan adalah parti nasional dengan lebih 200 cabang di seluruh negara. Komitmen kita jelas, Sabah tidak boleh diketepikan dan MA63 menjadi perjuangan wajib untuk dilunaskan bersama Pakatan Harapan,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya DUN Merotai.
Beliau menambah, senarai calon akan diumumkan tidak lama lagi selepas rundingan selesai dan PKR sudah bersedia menawarkan calon terbaik di kawasan terpilih. – UTUSAN










