PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di timur Sabah berlarutan sehingga Khamis ini berikutan penumpuan angin yang masih aktif di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisis terhadap model ramalan cuaca terkini menunjukkan corak angin sedemikian akan berterusan dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dalam jangka masa lebih panjang di kawasan timur Sabah sehingga 18 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta peka dengan perkembangan semasa, selain merujuk maklumat rasmi daripada METMalaysia.
“Orang ramai boleh melayari laman web www.met.gov.my, mengikuti saluran media sosial rasmi METMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih,” katanya. – UTUSAN








