GEORGE TOWN : Seorang remaja perempuan bawah umur bersama tiga lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Jelutong, minggu lepas.
Kesemua tertuduh iaitu Abdul Hakim Mohd. Amin, 22; Muhammad Loqman Nasri, 22; Muhammad Amsyar Md Asraf, 20; dan remaja terbabit yang berusia 15 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dituduh secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhd. Syazwan Aiman Muhd Syahrul, 21, dengan merompak sebuah telefon bimbit Iphone 13 Promax, wang tunai RM100 dan wang berjumlah RM482 melalui pindahan Touch ‘n Go pada pukul 12.30 tengah malam, 5 September lalu di sebuah kondominium di Urban Suite, Jelutong di sini.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal menawarkan wang jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jumlah wang jaminan itu dikurangkan atas beberapa alasan tertentu berdasarkan latar belakang masing-masing.
Abdul Hakim mahu wang jaminan tersebut dikurangkan kerana dia tidak bekerja manakala Muhammad Loqman yang bekerja sebagai pemandu lori pula perlu berbuat demikian kerana sedang menanggung isteri, ibu dan bapa serta seorang anak yang berusia dua tahun.
Sementara itu, Muhammad Amsyar merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana dia mempunyai enam adik-beradik serta ibu bapanya yang telah bercerai manakala remaja perempuan tersebut yang kini tidak bersekolah pula memberi alasan bahawa ibunya tidak mampu untuk membayar wang berkenaan seperti yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Juraidah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 tiap seorang dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu tidak membenarkan tertuduh mengganggu saksi pendakwaan.
Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam.-UTUSAN










