PETALING JAYA: Ribuan penduduk Palestin menanti dengan penuh harapan dan debaran ketibaan konvoi misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berlayar menuju ke Gaza.
Menerusi beberapa video yang tular dalam media sosial, GSF bukan sahaja membawa bantuan makanan dan perubatan, malah menjadi simbol solidariti serta suara dunia yang tidak pernah melupakan penderitaan mereka.
Di sebalik sekatan yang menjerut kehidupan seharian serta runtuhan bangunan yang menjadi saksi kezaliman rejim Zionis, penduduk Palestin terus memandang ke laut dengan doa yang tidak pernah putus.
Mereka menantikan layar kapal-kapal itu muncul di ufuk serta kehadiran flotilla berkenaan dianggap seolah-olah membawa sinar baharu yang mampu menyembuhkan luka dan menguatkan tekad mereka untuk terus bertahan.
Difahamkan, ratusan penduduk Gaza sudah membanjiri pesisir pantai sejak semalam bagi menantikan ketibaan konvoi GSF.
Orang ramai juga dilihat mengibarkan bendera Palestin sambil menyanyikan lagu perjuangan dan mendoakan keselamatan sukarelawan serta kapal-kapal yang menyertai misi tersebut.
Terdahulu, konvoi GSF yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza semakin menghampiri garisan paling mencabar apabila dijangka melepasi zon merah dalam tempoh dua hari lagi.
Berdasarkan tinjauan ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ dibangunkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), mereka berada pada kedudukan kira-kira 252.8 batu nautika dari destinasi dengan purata kelajuan 4.3 knot.
Ia dijangka mengambil masa sekitar dua hari 10 jam sebelum memasuki perairan Gaza.
Peserta konvoi kemanusiaan GSF, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman mengesahkan, kapal konvoi menuju ke Gaza secara rasmi telah memasuki zon kuning.
Dalam hantaran di sosial medianya, pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) itu berkata, konvoi pelayaran dijangka memasuki zon merah pada Khamis.
Dalam hantaran sama, beliau turut memohon doa orang ramai agar perjalanan peserta konvoi GSF selamat. – UTUSAN










