PETALING JAYA: Proses pemberian status kewarganegaraan kepada tujuh pemain bola sepak bagi membolehkan mereka beraksi bersama skuad kebangsaan dilaksanakan mengikut syarat dan peraturan undang-undang yang ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua prosedur pemberian kewarganegaraan melalui kaedah naturalisasi dijalankan mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, kementeriannya sentiasa memastikan setiap urusan kewarganegaraan dilakukan secara sah, telus serta dengan penuh tanggungjawab.
“Pemberian kewarganegaraan ini boleh diberikan melalui naturalisasi. Kita meneliti aspek salasilah serta pertalian darah dengan ahli keluarga yang berasal dari Malaysia.
“Proses ini juga sangat teliti dan berlapis. Ketua Setiausaha (KSU) akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bagi meneliti semua dokumen, menjalankan temu bual, mengambil data biometrik serta membuat verifikasi menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) di stesen minyak di Sandakan, Sabah, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan tindakan tegas terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Mereka diturunkan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudiannya mencetuskan aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain.
Menerusi kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen tidak sah bagi membolehkan tujuh pemain itu beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Jawatankuasa Disiplin FIFA kemudian memutuskan FAM perlu membayar denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain dikenakan denda RM10,000 serta digantung daripada semua perlawanan selama 12 bulan.
FIFA turut menyerahkan isu kelayakan pemain terbabit kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut, membuka kemungkinan tindakan tambahan terhadap FAM atau pemain jika diperlukan. – UTUSAN










