PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah akan memberi keutamaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pemulihan dan menaik taraf infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting untuk dilaksanakan segera, secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya turut menegaskan agar kesiapsiagaan pasukan perlu sentiasa dipertingkat, memandangkan cabaran perubahan iklim yang tidak menentu menuntut keupayaan kita untuk bersedia pada setiap masa,” katanya.
Terdahulu, beliau memulakan lawatan ke Kota Kinabalu, Sabah hari ini dengan meninjau keadaan pasca banjir di Kampung Rampayan, Manggatal serta mendengar taklimat mengenai beberapa kerja penambahbaikan infrastruktur yang sedang dirancang di kampung ini.
Lawatan beliau kemudian diteruskan ke Kampung Inanam Laut bagi menziarahi penduduk yang terkesan akibat banjir beberapa minggu lalu, di samping meninjau cadangan menaik taraf infrastruktur demi meningkatkan kemudahan serta keselamatan penduduk setempat. – UTUSAN










