PETALING JAYA: Penyertaan golongan wanita dalam misi flotila sumud nusantara ke Palestin adalah harus dan tidak menjadi satu kesalahan.
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum wanita keluar berjihad di luar negara pada asasnya tidak diwajibkan, namun penglibatan mereka boleh menjadi keperluan khususnya dalam misi kemanusiaan.
“Pada zaman ini, terdapat keadaan yang menuntut kehadiran wanita, contohnya untuk membantu golongan wanita lain yang terkesan akibat peperangan.
“Sumbangan mereka dalam pelbagai aspek bagi menjayakan misi jihad adalah perkara yang dituntut serta terpuji, dengan syarat ia selaras dengan garis panduan dan ketetapan syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pejabat Mufti Wilayah berkata, rakyat Palestin kini berada dalam keadaan sangat terdesak dan amat mengharapkan bantuan daripada sesiapa sahaja yang sanggup menempuh cabaran.
“Jihad di jalan Allah SWT adalah perbuatan agung dan mulia serta dijanjikan ganjaran besar kepada orang beriman yang melakukannya.
“Terdapat juga wanita yang ingin turut serta dalam jihad, lebih-lebih lagi apabila isu Palestin berada di tahap paling genting dalam sejarah konfliknya,” katanya.
Penjelasan tersebut turut merujuk kepada hadis-hadis mengenai peranan wanita dalam peperangan, antaranya memberi minuman kepada pejuang serta merawat mereka yang tercedera.
“Ini menunjukkan walaupun kaum wanita tidak mengangkat senjata, peranan mereka tetap penting untuk memastikan kejayaan misi jihad.
“Apatah lagi jika melibatkan maslahah umum yang lebih besar, maka ia perlu diutamakan berbanding kepentingan khusus,” kata kenyataan itu.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penyanyi, Zizi Kirana kecewa dengan segelintir pihak yang mempertikaikan penglibatan selebriti dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, dia kecewa dengan pandangan negatif netizen yang seolah-olah menidakkan tujuannya untuk membantu saudara Islam di sana.
Zizi bersama beberapa aktivis dari Malaysia telah berlayar melalui laut Mediterranean bersama puluhan kapal dari 44 negara bagi misi bantuan pada 31 Ogos lalu. – UTUSAN










