MERSING: Seorang pemuda di Kampung Tenglu di sini kini hanya terlantar selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat.
Kamaruzaman Kadir, 38 mula mengalami tanda-tanda awal penyakit itu kira-kira tiga tahun lalu apabila sering mengadu silau pada waktu malam sehingga sukar memandu.
Kakaknya, Zalia, 41 berkata, adiknya itu kemudian kerap mengadu sakit kepala dan demam.
Katanya keadaan kesihatan adiknya semakin merosot selepas terlibat kemalangan tahun lalu apabila kerap pengsan sehingga tidak dapat bekerja sepenuh masa.
“Adik bekerja sebagai pemandu bot pelancongan. Selepas kemalangan kereta pada tahun lepas dia kerap kali pengsan walaupun kemalangan yang berlaku tidaklah sehingga mencederakannya.
“Sejak adik mengadu masalah penglihatannya saya memang bawa dia ke hospital namun doktor tidak ada apa-apa penyakit.
“Selepas penglihatannya terus tidak nampak dia sudah tidak bekerja, adik dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan di situ kami baru tahu bahawa adik menghidap kanser otak tahap empat dan terdapat cecair di dalam kepala yang menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan.
“Dia sudah dua kali menjalani pembedahan bagi membuang cecair di kepala serta pembedahan memasang saluran khas untuk mengalirkan cecair keluar dari kepalanya,” katanya ditemui ketika menerima ziarah dilakukan Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof.
Beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga itu di sini semalam.
Zalia berkata, Kamaruzaman kini bergantung kepada susu khas berharga RM90 setin yang hanya bertahan tiga hari dan juga lampin pakai buang.
Adiknya itu juga ada menerima bantuan termasuk one-off daripada Baitulmal disamping sedang memohon bantuan bulanan bagi menampung rawatan berulang alik ke hospital menggunakan ambulans.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun bank milik Che Kamariah Mahmood 01113- 29-00015759-7 (Bank Simpanan Nasional). – UTUSAN










