BESUT: “Saya rindu ingin mendengar celoteh Fathia kerana hidup saya sunyi apabila dia kini hanya terbaring di katil tanpa boleh berbicara.”
Demikian luah, Nor Maliani Rahmat, 44, ibu kepada Nur Fathia Ashykin Mohd. Suhaimi, 15, yang hilang keupayaan bergerak dan hanya berkomunikasi melalui mata selepas terlibat kemalangan pada Disember tahun lalu.
Katanya, kehidupan keluarganya berubah 100 peratus selepas motosikal ditunggang anak kedua daripada tiga beradik itu dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Jawek, dekat sini.
Susulan kemalangan itu, Nur Fathia Ashykin, seorang anak yang aktif terpaksa menanggung derita apabila mengalami kecederaan otak, cedera pendengaran, patah tangan dan kaki kanan.
“Dia beberapa kali menjalani pembedahan termasuk membuang pendarahan dalam kepala dan membuang tempurung kepala sementara waktu tetapi memberi kesan kepadanya. Dia kerap diserang sawan membuatkan seluruh anggota badannya kejang.
“Disebabkan itu, dia sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan membuang cecair di kepala dan memasang kembali tempurung kepala pada awal Februari lalu bagi mengatasi masalah sawan berkenaan,” katanya ditemui di Kampung Pulau Panjang, di sini.
Lebih memilukan buat Nor Maliani apabila anak yang menjadi harapan keluarga itu kini hanya memandang sepi kepadanya setiap kali dia menguruskan Nur Fathia Ashykin dan tidak mampu mengungkapkan sepatah kata sebagaimana sebelum ini.
Katanya, Nur Fathia Ashykin hanya mampu memberi isyarat dengan mengelipkan mata untuk berkomunikasi.
Menurutnya, keadaan Nur Fathia Ashykin yang memerlukan penjagaan rapi menyebabkan mereka sekeluarga berpindah dari rumah sewa dan menumpang di rumah ibu-bapanya yang terletak di lokasi sama.
“Rumah kami sempit dan menyukarkan pergerakan untuk menguruskannya. Kami terpaksa membawa Fathia ke rumah neneknya dan ditempatkan di sebuah bilik khas,” katanya.
Nur Fathia Ashykin terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberi lima kali sehari dengan setin susu berharga RM150.
Bapanya pula buruh kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap. – UTUSAN










