PETALING JAYA: Kumpulan Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlepas dari Sepanyol dan Tunisia terpaksa menangguhkan pelayaran ke Gaza sejak kelmarin berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Sebelum itu, sebahagian besar kumpulan berkenaan telah pun berlepas dari pelabuhan Bizerte dan Sidi Bou Said di Tunisia.
Perunding Media Pertubuhan AlKhair Malaysia, Razali Awang yang turut serta dalam misi tersebut berkata, beliau bersama kumpulan lain kini terpaksa berlabuh di pelabuhan Portopalo, Sicily buat sementara waktu
“Berdasarkan beberapa maklumat, pelayaran dijangka disambung semula dalam tempoh 30 jam dan akan memulakan perjalanan semalam.
“Sebelum ini, ketika melalui Selat Sicily, kami dilanda ribut dengan angin mencecah 20 knot dan ombak setinggi satu meter.
“Walaupun tidak seteruk ketika kami meninggalkan Barcelona pada 1 September lalu, penganjur mengambil keputusan untuk berlabuh di pelabuhan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada pertengahan bulan ini.
GSF melibatkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.
Dalam pada itu, Razali berkata, selepas meninggalkan Sicily, kumpulan ini akan bergabung dengan kumpulan lain yang telah berlepas dari Itali dan Greece untuk membentuk flotila besar menuju perairan Gaza.
Pelayaran dijangka mengambil masa antara lapan hingga 10 hari, bergantung kepada faktor cuaca, teknikal dan keselamatan. – UTUSAN











