PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lokap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
“Ia bagi memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perkara itu diputuskan semasa Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7, semalam.
Kata beliau, mesyuarat itu turut memberikan perhatian dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.
Menurutnya, ia bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
“Mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat, atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara.
“Reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam,” katanya. – UTUSAN










