Pas pernah ditawar ketuai PN

Pas pernah ditawar ketuai PN

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas pernah ditawarkan untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN), namun memilih menolak atas beberapa faktor termasuk kurang bersedia.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini Pas akan menerima semula tawaran itu kerana sudah bersedia menerajui gabungan berkenaan termasuk menjadi Pengerusi. 

“Untuk rekod, kita sudah beberapa kali ditawarkan menjadi Pengerusi PN. Oleh sebab itulah timbul kita menerima sebab kita pernah ditawarkan untuk menerajui PN. Sekarang kita menyatakan kita sudah bersedia untuk menjadi Pengerusi PN kalau diperlukan,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini. 

Ketika ditanya faktor Pas menolak tawaran itu, beliau menjelaskan parti beranggapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih sesuai memandangkan beliau bekas Perdana Menteri.

“Dulu kita putuskan, pada masa itu merasakan beliau lebih sesuai, bekas Perdana Menteri. Bukan masalah sesuai atau tak sesuai, dulu beliau sendiri yang menawarkan kepada Pas. 

“Banyak faktor kenapa Pas mungkin sekarang ini atau sebelum ini sesuai untuk menerajui PN, satunya parti kita sudah 74 tahun dan kita diberikan kemenangan 43 kerusi. 

“Kita juga menerajui empat negeri dan di negeri-negeri yang kita tak memerintah pun, sebagai contoh di Pahang 17 kerusi PN, Pas 15 kerusi. Begitu juga di Perak kita lebih banyak. Jadi kita rasa kita boleh dengan kemampuan kita ada,” katanya. 

Menyentuh ciri-ciri seorang bakal Perdana Menteri, katanya, calon daripada Pas tidak semestinya seorang ulama kerana pendirian parti mengenengahkan pemimpin berketrampilan ulama dan teknokrat profesional.

Dalam pada itu, Pas menganggap kenyataan Muhyiddin yang mahukan parti itu menggunakan logo PN berbanding logo Pas ketika pilihan raya umum (PRU) sebagai mendahului keputusan bersama.

Takiyuddin berkata, sebagai satu gabungan, apa juga keputusan perlu diputuskan secara perundingan bersama sebelum dibincangkan mana-mana pihak.

“Bagi Pas itu (penggunaan satu logo) kenyataan yang agak mendahului keputusan PN. Apa pun sebagai satu gabungan dan rakan kongsi kita tidak ada abang kecil, tidak ada abang besar. 

“Kita ada empat rakan kongsi, dulu lima, sekarang tinggal empat. Kita semua sama rata di PN. Jadi bagi Pas, apa juga keputusan yang perlu dibuat oleh Pengerusi PN atau sesiapa sahaja mesti melalui Majlis Tertinggi PN,” katanya.

Takiyuddin berkata, pendirian itu juga terpakai dalam soal calon Perdana Menteri yang perlu diputuskan sebagai bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN