Parlimen mesti kekal sebagai benteng demokrasi - Johari

Parlimen mesti kekal sebagai benteng demokrasi – Johari

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parlimen mesti kekal sebagai benteng demokrasi kerana ia menjadi institusi yang menentukan sama ada kepercayaan rakyat dapat dipelihara atau dikhianati.

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, sekiranya parlimen berdiri teguh, telus dan bertanggungjawab, institusi itu akan dapat mempertahankan demokrasi, namun jika goyah, asas tadbir urus akan tergugat.

Katanya, apabila rakyat hilang keyakinan terhadap kepimpinan parlimen, kesatuan dan kemajuan ASEAN akan turut terjejas.

“Jika kita mendengar, bertindak dan membuktikan bahawa parlimen mampu membawa keadilan serta harapan, kita bukan sahaja memperoleh semula kepercayaan mereka, malah juga kerjasama dalam membina ASEAN yang lebih kukuh,” katanya berucap pada Majlis Perasmian AIPA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Johari yang juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, ekonomi ASEAN dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.7 peratus pada 2025 dan 2026 sekali gus menuntut kepimpinan legislatif yang lebih jelas dalam memastikan dasar serta perundangan serantau dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat negara anggota.

Katanya, pencapaian itu tidak boleh bergantung kepada janji semata-mata, sebaliknya memerlukan kerangka undang-undang yang dapat merangsang inovasi serta melindungi rakyat. 

“Antara bidang yang memerlukan perhatian segera ialah perdagangan digital, kewangan lestari, teknologi hijau, keselamatan makanan, tindakan terhadap perubahan iklim dan perlindungan sosial.

“Segala bidang ini tidak akan maju hanya dengan janji, tetapi memerlukan kerangka perundangan yang dapat membuka ruang inovasi dan melindungi rakyat kita. Di sinilah kepimpinan legislatif amat penting bagi menterjemahkan aspirasi serantau ke dalam undang-undang domestik,” katanya.

Menurut Johari, aset terbesar ASEAN bukanlah sumber asli atau kedudukan strategik, sebaliknya 700 juta rakyat yang membawa masa hadapan rantau ini.

Katanya, kelebihan demografi itu hanya akan menjadi kekuatan sekiranya pelaburan terhadap modal insan dapat diterjemahkan kepada peluang sebenar.

“Kita mesti memastikan pelaburan dalam modal insan ini menghasilkan peluang yang nyata dengan mewujudkan kerangka yang membolehkan bakat bergerak bebas merentasi sempadan, kelayakan yang diiktiraf di seluruh negara anggota dan laluan yang memberi ruang kepada belia untuk menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ASEAN. 

“Belia dan wanita juga tidak boleh diketepikan daripada parlimen, sebaliknya mesti ditempatkan di pusatnya kerana perspektif mereka amat penting untuk menjadikan ASEAN kekal relevan, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×