SEMUA pihak tidak suka dengan budaya buli. Sehubungan itu, Putera MIC Negeri Kedah meminta semua pihak jangan pandang ringan mengenainya.
Buli bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggal kesan mendalam terhadap emosi dan mental pelajar.
Generasi muda adalah aset negara dan tidak boleh membiarkan mereka dibelenggu ketakutan akibat perbuatan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Saya juga menyeru semua pelajar, guru, ibu bapa serta pihak berkuasa untuk bersatu menentang budaya buli.
Putera MIC Negeri Kedah komited memperjuang polisi yang lebih ketat agar setiap sekolah menjadi zon selamat dan bebas daripada buli.
Putera MIC Kedah akan bekerjasama rapat dengan pihak berwajib bagi memperkenalkan program kesedaran, sokongan kepada mangsa, serta tindakan disiplin yang lebih tegas terhadap pelaku buli.
Sebagai rujukan, beberapa negara telah membuktikan keberkesanan langkah pencegahan buli.
Jepun, misalnya, mewajibkan sekolah melaksanakan program Ijime Prevention yang memberi fokus kepada pendidikan nilai dan intervensi awal.
Finland pula berjaya mengurangkan kadar buli melalui program KiVa Anti-Bullying, yang menekankan kerjasama pelajar, guru dan komuniti untuk menyokong mangsa serta menghentikan pengasingan sosial. Model sebegini boleh dijadikan inspirasi untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia.
Sebagai langkah ke hadapan, setiap pelajar perlu dididik tentang nilai hormat-menghormati, toleransi dan kesopanan, sekali gus membentuk budaya sekolah yang positif dan juga memastikan undang-undang berkaitan buli dikuatkuasakan tanpa kompromi.
Tahun 2025 mesti menjadi titik tolak untuk menghapus budaya buli. Marilah semua pihak berganding bahu demi menjamin keselamatan, keharmonian dan masa depan generasi muda negara. – UTUSAN
DINESHKUMARAN PATMANATHAN
Ketua Putera MIC Negeri Kedah










