PETALING JAYA: Pejabat Mufti Sabah menafikan dakwaan bahawa Mufti dan Timbalan Mufti terhidu bau haruman daripada jenazah Zara Qairina Mahathir, sebagaimana yang didakwa dalam sebuah video tular di media sosial.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, tuduhan berkenaan sama sekali tidak benar, tidak berasas serta boleh mencemarkan nama baik institusi mufti negeri itu.
“Pejabat Mufti Sabah ingin menegaskan Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah dilakukan seperti yang didakwa oleh penggali kubur tersebut.
“Kenyataan itu adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 46 saat tular di media sosial sejak minggu lalu mendakwa Mufti dan Timbalan Mufti Sabah menghidu haruman daripada jenazah Zara Qairina ketika proses penggalian semula dilakukan.
Kubur pelajar tingkatan satu itu digali semula pada 9 Ogos lalu seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan menjalankan prosedur bedah siasat.
Kata kenyataan itu, pihak terbabit diminta segera menarik balik dakwaan berkenaan serta membuat permohonan maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang diambil.
Pejabat Mufti Sabah turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang menularkan kenyataan dalam video tersebut.
Katanya, penjelasan tersebut turut disertakan dengan irsyad hukum berkaitan adab menziarahi kubur sebagai panduan umat Islam.
“Menziarahi kubur adalah amalan yang dituntut dalam Islam kerana ia menjadi peringatan kepada setiap umat bahawa mereka pasti akan meninggalkan dunia fana menuju ke alam akhirat.
“Namun, dalam melaksanakan tuntutan ini, setiap umat Islam hendaklah menjaga adab sebagaimana digariskan syariat dan menjauhi segala larangan agar amalan tersebut benar-benar mendapat keredaan Allah,” katanya.
Antara larangan ketika menziarahi kubur termasuk meratap, meraung, memukul pipi dan meronta kerana terlalu bersedih. Umat Islam juga dilarang duduk, merangkak, melangkah atau bersandar di atas kubur kecuali jika tiada laluan lain.
“Amalan khurafat yang menjejaskan akidah turut diharamkan seperti menjadikan kubur sebagai tempat pemujaan, mengambil keberkatan daripada kubur atau meniru adat agama lain seperti membawa kalungan bunga,” katanya.
Pejabat Mufti Sabah menyeru umat Islam agar menghadapi isu berkaitan kubur arwah Zara Qairina dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan.
“Semoga dengan pendekatan yang sederhana dalam setiap tindakan, umat ini sentiasa diberikan inayah dan hidayah Allah serta berada dalam reda dan maghfirahNya,” katanya.










