TANJUNG MALIM: Penduduk di sekitar Sungai Bil, Slim Village di sini khususnya di Kampung Pasir dan Kampung Piong, berharap sistem amaran awal bencana dapat segera dipasang bagi memberi peringatan lebih awal sekiranya berlaku bencana alam seperti fenomena kepala air.
Permintaan itu susulan kejadian kepala air Ogos tahun lalu yang menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah penduduk serta infrastruktur kampung, termasuk jambatan utama yang menghubungkan kawasan terbabit.
Menurut penduduk Kampung Piong, Lee Che Hoo, 43, setiap kali hujan lebat dan langit mulai gelap, mereka berasa cemas kerana air dari kawasan hulu cepat memenuhi sungai yang mengalir dari kawasan pegunungan.
“Pemasangan sistem amaran awal sangat penting, terutama apabila cuaca kini tidak menentu. Kami risau jika bencana berlaku tanpa sebarang amaran. Sekurang-kurangnya dengan sistem ini, kami boleh bersedia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Chee Hoo turut mengimbas kejadian kepala air pada Ogos tahun lalu yang berpunca daripada pecahnya empangan di Ulu Slim.
Kejadian itu mengakibatkan banjir lumpur yang membawa bersama kayu balak dan pokok besar, serta menghanyutkan beberapa struktur termasuk Jambatan Kampung Piong.
“Jambatan utama seperti Jambatan Jalan Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong di Sungai Bil semuanya rosak teruk akibat arus deras dari hulu sungai,” tambahnya.
Chee Hoo berkata, sistem amaran awal di negara maju seperti China dan Jepun wajar dijadikan contoh.
Katanya, di negara-negara tersebut, penduduk mendapat maklumat awal tentang ribut, banjir dan bencana lain melalui siren, aplikasi mudah alih dan peringatan berkala.
“Sudah tiba masanya Malaysia memasang sistem ini di kawasan berisiko tinggi seperti Slim Village. Ia bukan sahaja memberi ketenangan kepada penduduk, malah boleh menyelamatkan nyawa,” tegasnya. – UTUSAN










