PETALING JAYA: Malaysia dan Vietnam akan terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga serta sektor halal yang kini semakin mendapat permintaan di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu sekaligus menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan rantau ASEAN.
“Kami sepakat menekankan kepentingan hubungan antara Parlimen kedua-dua negara. Malaysia mengiktiraf peranan Vietnam melalui AIPA (Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN) sejak 1995 sebagai detik penting integrasi Parlimen di rantau ini.
“Melalui pertukaran amalan terbaik dalam perundangan, tadbir urus dan reformasi, kita berjaya memperkuatkan asas-asas demokratik serta memperluaskan ufuk kerjasama,” katanya dalam hantaran melalui Facebook semalam.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, kedua-dua negara turut mendukung penyertaan Timor-Leste dalam blok ASEAN.
“Usaha ini melambangkan kesatuan rantau kita, yang bukan saja berpaksi pada kepentingan ekonomi, malah turut mencakup idealisme, solidariti dan semangat kebersamaan di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menzahirkan tekad kedua-dua negara untuk mempereratkan hubungan Malaysia-Azerbaijan yang terjalin sejak 1993 menerusi pertemuannya dengan Speaker Milli Majlis (Perhimpunan Parlimen) Azerbaijan, Sahiba Gafarova, semalam.
Beliau berkata, Malaysia melihat Azerbaijan sebagai rakan strategik yang memiliki potensi besar khususnya dalam bidang tenaga, pelancongan, industri halal serta kerjasama dalam sektor pembinaan dan mineral.
“Ini adalah landasan yang akan kita mantapkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Saya menyanjung peranan Azerbaijan dalam mengangkat agenda keamanan serantau, termasuk melalui ‘Washington Framework for Peace’, baru-baru ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kepemimpinan mereka di pentas antarabangsa, khususnya dalam Rangkaian Parlimen Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), memperlihatkan diplomasi yang bukan hanya jalur untuk meleraikan konflik, tetapi juga menjadi aparat (alat) untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan.
“Justeru, kerajaan akan terus menjambatani (menghubungkan) Timur dengan Barat melalui pendekatan dan seni diplomasi kenegaraan.
“Dalam dunia yang terus berantakan hari ini, Malaysia memilih untuk menjadi suara serta kuasa penengah (mid-tier power) di pentas geopolitik ke arah dunia yang lebih aman dan seimbang,” katanya.-UTUSAN









