KUALA LUMPUR: Malaysia akan membentangkan Pelan Tindakan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN 2026-2035 (ASCAP) sebagai peta hala tuju bagi memastikan pembangunan bandar serantau yang lebih mampan, inklusif dan seimbang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelan tindakan itu menjadi bukti tekad kolektif negara anggota ASEAN dalam merangka strategi bersama untuk memacu transformasi bandar pintar.
Katanya, ASCAP dibina berasaskan tiga tonggak utama iaitu tadbir urus berasaskan data yang telus, inovasi melangkaui bandar utama serta kerjasama rentas sempadan.
“Ini lebih daripada sekadar dokumen. Ia adalah pelan hala tuju dekad, ditempa melalui kerja keras dan konsensus semua negara anggota ASEAN.
“Masa depan bukanlah sesuatu yang kita ramalkan, ia adalah sesuatu yang kita bina. Dengan ASCAP 2026–2035 sebagai dokumen panduan kita, marilah kita melangkah ke hadapan sebagai arkitek era bandar baharu untuk ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Mesyuarat Tahunan Kelapan ASEAN Smart Cities Network (ASCN8), hari ini.
ASCN8 menghimpunkan pemimpin serantau, pakar bandar pintar serta pelbagai pihak berkepentingan bersempena Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025.
Tidak hanya tertumpu pada teknologi moden atau infrastruktur canggih, ASCN8 perlu berteraskan kepada manusia, komuniti serta nilai-nilai kemasyarakatan yang mengikat rantau ini.
Tambah beliau, ASCAP juga merupakan sebahagian daripada rangka kerja lebih besar integrasi ASEAN yang melengkapi antara satu sama lain.
Katanya, ia termasuk Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) dan Strategi Pembandaran Mampan ASEAN (ASUS).
“Kami juga komited memperjuangkan model serantau pembangunan bandar pintar dan mengintegrasikan kejayaan ASEAN dalam inovasi inklusif serta daya tahan iklim ke dalam strategi global,” katanya. – UTUSAN










