Segera kembalikan keharmonian Pas Perlis

Segera kembalikan keharmonian Pas Perlis

AHMAD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Ali dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Perlis menggantikan Mohd. Shukri Ramli yang kini menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Pelantikan itu dianggap bagi mengimbangi peranan parti dan kerajaan. Ahmad yang juga tokoh berpengaruh di Perlis mengurus parti manakala Mohd. Shukri fokus kepada pentadbiran negeri.

Antara cabaran utama Ahmad adalah untuk mengembalikan keharmonian dalaman, mengukuhkan saf kepimpinan serta mengangkat kembali kekuatan Pas di Perlis.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB mengajukan lima soalan mengenai hala tuju Pas negeri dan isu-isu berkaitan.

UTUSAN: Apa hala tuju Pas Perlis selepas ini?
AHMAD ALI: Insya-Allah dalam pemikiran saya, kita nak letakkan hala tuju Pas Perlis iaitu Perlis Bestari. Perlis Bestari mengandungi nilai-nilai universal dan tidak bercanggah dengan agama Islam. Ertinya, pimpinan-pimpinan hendaklah dalam kalangan orang berilmu, berakhlak dan berbudi bahasa yang baik. Kerana ia salah satu elemen yang ada dalam perkataan bestari itu. Kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikan perkara ini.

Perkara utama yang perlu diperbetulkan dalam Pas Perlis?
Perkara pertama, kita telah melalui masa lebih dua tahun (pemerintahan), tentulah banyak perkara negatif berlaku dalam tempoh itu. Mulai dari hari ini, kita nak kaji semula kesilapan-kesilapan yang telah berlaku. Kita akan perbetulkan dengan harapan akan berlaku perubahan-perubahan lebih positif. Biar kesilapan yang berlaku itu, menjadi lipatan sejarah dan kita perlu mengambil pengalaman darinya. Pas Perlis perlu menjadi contoh melalui amalan kita.

Cabaran selaku Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu untuk mengekalkan pemerintahan selepas PRU16?
Kita telah putuskan dalam muktamar baru-baru ini, kembali mencari penyelesaian Islam. Cabaran kita terima hari ini, kita belum dapat menunjukkan contoh bahawa kita benar-benar bersatu padu dan bantu-membantu antara kita yang masih kurang. Itu antara cabaranlah. Saya yakin, pimpinan ini bukan saya minta, tapi diarahkan mene­rima pimpinan ini, saya akan laksana tanggungjawab ini demi Islam.

Kerjasama Pas Perlis dengan kerajaan negeri?
Bagi saya peluang dan ruang banyak boleh dibuat dengan kita akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan hasrat kita, menjadikan Perlis yang bestari. Kita nak jaga hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan parti. Dalam muktamar lepas, kita telah putuskan bahawa parti memandu kerajaan dan kita perlu berpegang kepada itu.

Usaha mengembalikan pengukuhan dan keharmonian Pas Perlis?
Yang pertama sekali, kita hendak adakan perbinca­ngan, perkemaskan usaha tarbiah dan usrah agar dihidupkan kembali. Mudah-mudahan isu timbul sebelum ini dapat diselesaikan bersama-sama. Jangan bangkit lagi kesilapan lepas, jadikan ia sebagai sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN